top of page

Ep. Cindy : Pak Abu & Sang Keldai 

  • Writer: Mel
    Mel
  • Mar 10, 2015
  • 3 min read


Sebuah kereta Audi berwarna merah deras meluncur laju di Jalan Kelawai. Hari sudah larut malam namun sang rembulan masih tegar menerangi malam walau terlindung sedikit di balik awan mendung hitam. Kereta merah tadi berhenti di lampu isyarat merah. Selang beberapa saat kemudian kereta tadi meluncur lagi dan membelok ke kanan memasuki ke sebuah perkarangan banglo lot.


Setelah turun dari kereta, aku menekan remote control pagar dan masuk ke rumah. Di kepala aku waktu itu hanyalah mahu mandi dan melelapkan mata. Fikiran itu membuatkan langkah aku makin laju menaiki tangga ke tingkat dua. Tiba-tiba langkahku mati didepan satu kamar yang masih bercahaya.


Aku : Eh, Cindy tak tidur lagi ke?


Cindy hanya diam, hanya memandang aku sambil memeluk bugs bunny.


Aku : Kan esok nak pergi taska. Ni dah pukul 10 dah ni.


Sambil menggosok mata yang mungkin pedih kerana sudah mengantuk, dia bersuara :


Cindy : Cindy nak dengar cerita sebelum tidur


Pada pemikiran aku waktu itu, saat itu adalah saat terbaik untuk mendidik anak kecil perihal moral dan sahsiah diri melalui penceritaan sebelum tidur. Serta merta aku teringat cerita sang keldai.


Aku : Ok, papa baca satu cerita lepas tu Cindy tidur okay?


Cindy tersenyum menganggukkan kepala sambil menyisir rambut panjangnya yang menutupi mata.


Aku : Pada zaman dahulu di negeri Johor yang indah permai, rakyatnya hidup aman dan sentosa. Anak-anak kecil tertawa riang dan berlari-lari kesana kemari. Setiap hari, rakyat jelata akan keluar mencari rezeki. Mereka berdagang dan berniaga dengan harmoni tanpa GST.


Aku : Di hujung kampung, terdapat satu rumah di tepi pohon kelapa. Di depannya pula ada sebatang sungai yang deras mengalir. Sesekali pabila cahaya mentari menerangi, sesiapa yang terpandang akan air sungai itu nescaya akan merasa silau kerana kejernihan sungai tersebut. Sungai itu lah yang dinamakan sungai Johor.


Cindy : Oh Cindy tau. Atuk ada bawak Cindy. Cantik sungai tu papa, air dia macam milo.


Aku serta merta jadi marah dengan orang yang tak reti menjaga alam sekitar. Jatuh air muka aku sebagai rakyat Johor. Hatiku terguris pedih bila Cindy tidak dapat merasakan keindahan sungai.


Ok papa sambung,


Aku : Di hujung kampung itu, tinggallah Pak Abu dan keldainya di sebuah rumah. Pak abu merupakan saudagar gula. Setiap hari, Pak Abu akan menjual gula di pasar. Sang keldai akan menolong Pak Abu membawa guni gula ke pasar dengan merentasi sungai.


Aku : Sang keldai tersebut sungguh malas. Pada suatu hari, Pak Abu berasa hairan kerana gula yang diletakkan diatas badan sang keldai berkurangan. Pak Abu mengalami kerugian kerana pulangan untung tidak setara dengan modal asal. Jumlah kos melebihi jumlah pulangan, lalu perniagaan Pak Abu mengalami inflasi.


Aku : Setelah melakukan penyiasatan dan ujikaji, Pak Abu pun mendapat satu kesimpulan. Semasa sang keldai yang malas itu melalu sungai, sang keldai sengaja membasahkan guni gula dengan air. Dari situ, Pak Abu tahu yang gulanya hilang di dalam sungai.


Cindy : Macam mana boleh hilang papa?


Aku : Ini kerana molekul air dan gula saling tertarik sesama sendiri. Jadi bila molekul air H2O bercampur dengan gula C6H12O6, yang mana kedua-dua elemen mempunyai oksigen dan hidrogen yang berlainan cas, maka cas-cas ini akan menarik antara satu sama lain dan dengan dibantu faktor suhu dan daya, nescaya terhurailah ikatan kimia gula tersebut lalu larutlah ia kedalam air.


Cindy memandang aku tak berkelip.Sebelum dia sempat bertanya lebih lanjut, aku menyambung kembali.


Aku : Pak Abu berasa sungguh marah. Keesokan harinya Pak Abu sengaja menggantikan guni gula dengan guni kapas. Bila Sang Keldai membasahkan guni tersebut, sang keldai berasa sungguh berat dan penat. Sejak hari itu, sang keldai berubah menjadi rajin.


Cindy : Tapi kenapa kapas jadi berat? Kapas tu apa? Kenapa tak ada bridge macam dekat kampung atuk tu?


Aku : Ok, persoalan tu papa jawab esok. Dah malam. bye.

Comments


bottom of page